Showing posts with label Sumber: Bernama/Berita Harian. Show all posts
Showing posts with label Sumber: Bernama/Berita Harian. Show all posts

Saturday, July 11, 2009

MODEL BARU PENDIDIKAN JAWAB KEBIMBANGAN MANSUH PPSMI

Model baru pendidikan jawab kebimbangan mansuh PPSMI

Bersama Zainul Arifin
zainul@nstp.com.my


KEPUTUSAN kerajaan memperkenal model baru pendidikan menggantikan PPSMI bukan untuk menidakkan pentingnya bahasa Inggeris di persada dunia.

Penggunaan bahasa Malaysia di sekolah jenis kebangsaan wajar dipantau

PELBAGAI sambutan terhasil daripada pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), tetapi tumpuan kini sudah tentu ke atas bantahan yang diterima, terutama daripada ibu bapa.

Banyak undian dan pungutan suara diadakan yang rata-rata, secara amnya membantah keputusan ini. Malah undian di laman web berbahasa Malaysia pun tidak memberi sokongan padu kepada keputusan ini.



Memang kita boleh disangsikan keputusan undian alam maya ini, namun kita tidak boleh menafikan wujud sekumpulan besar rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu yang kurang senang dengan keputusan Kementerian Pelajaran.

Kumpulan yang mahukan PPSMI dimansuhkan pula semestinya gembira, oleh itu, tidak perlu banyak menulis atau membuat kenyataan. Kejayaan sudah di tangan, kini masa merai kemenangan.

Sebenarnya sesiapa yang mengikuti isu ini tentu sudah dapat menjangka keputusan ini. Jika dikaji, kenyataan-kenyataan sebelum ini seolah-olah mahu mempersiapkan kita akan keputusan ini.

Contohnya, cadangan untuk menambah dan memperbaiki pengajaran Bahasa Inggeris dengan mementingkan tatabahasa dan sastera, atau cadangan wajib lulus bahasa itu untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), digubah seolah-olah untuk menunjukkan bahawa pentingnya di dalam perkiraan kerajaan kedudukan bahasa Inggeris di dalam perancangan pendidikan kita.

Namun, sebab utama dasar diubah ialah pencapaian murid untuk mata pelajaran Matematik, Sains atau Bahasa Inggeris tidak menunjukkan perubahan yang ketara dengan PPSMI. Juga didapati terlalu sedikit guru yang melaksanakan PPSMI dengan sepenuhnya. Sama ada keupayaan bahasa Inggeris yang lemah ataupun kasihan kepada murid yang tidak boleh berbahasa Inggeris

Didapati juga jurang pencapaian antara murid di bandar dan luar bandar masih kekal untuk mata pelajaran itu.

(Tetapi kita juga perlu ingat jurang antara bandar dan desa wujud juga sebelum PPSMI dan ia mungkin hasil daripada perbezaan sosioekonomi dan bukannya bahasa pengantara.

(Kita juga perlu berhati-hati bila merumuskan fenomena ini, kerana kadang-kadang kita bercakap seolah-olah orang luar bandar tiada upaya untuk belajar dan menguasai bahasa Inggeris. Ia tentulah tidak benar kerana banyak tokoh pemimpin, perniagaan dan juga pentadbiran yang dulunya mandi di sungai dan tandas di luar rumah, yang kini menguasai bahasa Inggeris dengan baik.)

Tidak kurang penting juga sebab PPSMI dimansuh ialah kerana terlalu sedikit sokongan orang politik – baik pada pihak kerajaan atau pembangkang. Bagi mereka yang menangguk di air keruh, kini mereka mengkritik pemansuhan PPSMI, walaupun dulu mereka sama berarak menentang polisi itu.

Seperkara lain, apakah pendirian pejuang bahasa Melayu mengenai kedudukan bahasa itu di sekolah jenis kebangsaan China dan Tamil?

Di sekolah ini, bahasa Malaysia digunakan kurang 20 peratus seminggu. Dengan penambahan waktu untuk Bahasa Inggeris dan Matematik dan Sains diajar di dalam bahasa Mandarin atau Tamil, apakah nasib bahasa Malaysia sebagai bahasa untuk semua rakyat Malaysia.

Sebenarnya, bahasa Malaysia ialah bahasa ketiga di sekolah-sekolah ini.

Apakah kita hanya mahu menumpukan perhatian kita kepada sekolah kebangsaan yang mana hampir keseluruhan pelajarnya Melayu?

Kini di dalam urusan harian kita kita akan bertemu rakyat Malaysia yang penguasaan bahasa Malaysia sungguh memalukan. Walaupun sudah bertahun-tahun belajar, bukan saja sebutan pelat, tetapi tatabahasa mereka seakan-akan pekerja asing yang baru turun kapal terbang.

Adakah sebab aktivis sekolah Cina dan Tamil adalah rakan seperjuangan dalam pemansuhan PPSMI, maka pejuang bahasa kita hanya menjeling sebelah mata kedudukan bahasa Malaysia di sekolah jenis kebangsaan?

Walau bagaimanapun, apa saja pandangan kita mengenai pemansuhan PPSMI, kita patut berterima kasih bahawa keputusan sudah dibuat. Kini kita boleh memandang ke hadapan, mencatur langkah dan bergerak berbanding ketidaktentuan lebih setahun bila PPSMI mula dibincang dengan meluas.

Nyata, kebimbangan sebahagian daripada masyarakat adalah hasil daripada persoalan yang berguni-guni terkumpul di kalangan ibu bapa. Soalan-soalan, kebimbangan dan kesangsian akan ditokok tambah apabila mereka berjumpa dan berbual. Di kalangan mereka semakin lama berbincang, dirasakan semakin sugul dan malap masa depan anak-anak mereka.

"Kenapa kita sanggup menggadai masa depan anak-anak kita yang akan tinggal di dunia yang mana sempadan semakin luput dan di mana pengaruh bahasa Inggeris semakin bertambah?"

"Apakah kita tidak tahu bagaimana bahasa Inggeris membolehkan anak kampung kita menjadi anggota kelas menengah dan mampu berdiri bersebelahan bangsa lain di persada dunia?"

Kepada yang kecewa dengan keputusan ini, cubalah cari jalan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada model baru pendidikan ini. Adalah lebih baik mereka membantu untuk menyelesaikan kebimbangan dengan bekerjasama dengan kementerian.

Kini keputusan sudah dibuat dan apa yang perlu dilakukan kerajaan ialah untuk menunjukkan sistem baru yang akan digunakan akan mempunyai kesan lebih baik daripada PPSMI. Tidak perlu tunggu 2012.

Kerajaan perlu memberitahu kita rupa bentuk dan cara model baru pendidikan yang dikatakan akan memberi penyelesaian yang lebih menyeluruh - memartabatkan bahasa Malaysia, memantapkan bahasa Inggeris dan menjayakan pendidikan Sains dan Matematik.

Rakyat perlu diyakinkan bahawa keputusan ini wajar dan tindakan seterusnya bukan saja akan menjawab segala persoalan kita, tetapi juga akan melegakan kebimbangan kita.

Kerajaan perlu tunjukkan kepada kita keputusan ini bukan terhasil daripada desakan politik dan ia berlandaskan kepada keinginan mengadakan masa hadapan yang lebih baik untuk anak-anak kita dan juga untuk bahasa Malaysia.

Sains dan Matematik Dalam BM

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan hari ini mendapat reaksi positif pelbagai pihak.

Cendekiawan, ahli politik, ahli akademik, pendidik malah pelajar sendiri menyifatkan langkah itu sebagai sesuatu yang realistik ke arah memperkukuh kedudukan Bahasa Inggeris dan pada masa yang sama mendaulatkan bahasa Melayu.

Dr Chandra Muzaffar, Profesor Kursi Nordin Sopiee Pengajian Global Universiti Sains Malaysia berkata apa yang perlu dilakukan sekarang ialah meningkatkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris mulai dari peringkat sekolah rendah sehingga ke menara gading dalam usaha melahirkan generasi Malaysia yang fasih dalam kedua-dua bahasa itu.



Katanya kaedah pengajaran bahasa Inggeris sama ada di sekolah rendah dan menengah juga perlu dikaji semula selain menggunakan saluran media yang ada secara efektif dengan mengadakan program belajar bahasa itu melalui radio, televisyen dan internet selain mengedarkan DVD.

Veteran Umno dan tokoh pejuang bahasa Tan Sri Abdul Aziz Tapa berkata keputusan kerajaan itu amat penting dalam usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan yang telah diperjuangkan sejak 1952.

Penggunaan bahasa kebangsaan juga mudah untuk menyatukan rakyat dan ia selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap konsep 1Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, bahasa Inggeris adalah bahasa kedua yang utama yang tidak boleh diabaikan dan perlu dikuasai oleh rakyat.

Presiden Parti Gerakan Tan Dr Koh Tsu Koon berkata keputusan itu adalah konsisten dengan pendirian parti itu bahawa pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Malaysia atau bahasa ibunda di sekolah rendah adalah lebih berkesan berbanding dalam bahasa Inggeris.

Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu berkata, MIC bersetuju dengan keputusan kerajaan memandangkan ia juga permintaan daripada Majlis Pengetua Sekolah Tamil supaya kedua-dua mata pelajaran itu diajar dalam bahasa Tamil.

"Walaupun terdapat peningkatan bagi kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris di sekolah Tamil, anggota majlis itu bersetuju supaya ia diajar dalam Bahasa Tamil," katanya.

Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan berkata keputusan itu membuktikan bahawa kerajaan sentiasa memastikan bahawa dasar yang dibuat memberi manfaat kepada rakyat di negara ini.

"Dengan perubahan ini, maka Bahasa Malaysia akan sentiasa dimartabatkan dan pada masa yang sama Bahasa Inggeris akan terus dimantapkan. Bahasa Malaysia adalah suatu alat terpenting bagi perpaduan rakyat negara ini selaras dengan Gagasan 1Malaysia," katanya.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr George Chan berpendapat Kementerian Pelajaran perlu mencari alternatif lain supaya pelajar dapat menguasai Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa pertuturan global, sebagai usaha mengukuhkan pengajaran dan pembelajarannya di semua peringkat persekolahan.

"Sebenarnya kita mesti fasih dalam Bahasa Inggeris terutamanya apabila kita mahu memasuki dunia global tetapi saya berpendapat pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Inggeris bukan satu-satunya cara untuk menguasai bahasa itu," katanya.

Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena) Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein berkata, keputusan itu adalah tindakan yang bijaksana tetapi kerajaan juga perlu memberi penekanan kepada Bahasa dan Kesusasteraan Melayu.

"Kami suka menekankan supaya perhatian yang lebih diberikan kepada bahasa Kebangsaan, kesusasteraan dan budaya Melayu dalam konteks yang lebih luas di peringkat global," katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata berdasarkan keputusan yang dibuat pada Persidangan Perwakilan NUTP Ogos tahun lalu, pengajaran Sains dan Matematik bagi pelajar sekolah menengah perlu dikekalkan.

"Berdasarkan kepada keputusan Persidangan Perwakilan NUTP pada Ogos 2008, memang kita membuat keputusan untuk mengajar sains dan matematik bagi sekolah rendah dalam bahasa ibunda dan bagi sekolah menengah untuk terus menggunakan Bahasa Inggeris.

"Sebagai guru dan kesatuan guru kami sudah berjaya dalam 50 peratus daripada perjuangan kami. Namun demikian, selepas kerajaan membuat keputusan, NUTP berpendapat sebagai penjawat awam kita terpaksa ikut polisi itu," katanya.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia''s (PKPIM), Mohd Hilmi Ramli berkata: "PKPIM menyambut baik keputusan itu dan menyifatkan ia sebagai satu interpretasi komitmen kerajaan untuk mempertahankan dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan," katanya.




Sumber: Bernama/Berita Harian