Thursday, August 13, 2009

SEDARLAH WAHAI BANGSAKU,MARILAH KITA BERSATU

Tiang seri negara diancam

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
zulkifli.bakar@utusan.com.my
"Ibarat cacing naik ke mata, sudah ada pihak yang begitu angkuh mencabar dan memperolokkan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara. Malah mereka begitu biadab menghina institusi Raja-raja Melayu sehingga ke peringkat berani mencabar status agama Islam.

"Tanpa mengira tempat, tanpa menghiraukan akibat, mereka menabur fitnah, melempar tuduhan tidak berasas dan menghina sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka."

Mungkin ramai antara kita sudah lupa kepada kata-kata di atas, tetapi itulah petikan ucapan yang disampaikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada perhimpunan agung parti itu Mac lalu.

Ketika itu Hishammuddin yang bercakap atas kapasiti sebagai Ketua Pemuda UMNO mengingatkan bukan sahaja ahli-ahli parti tetapi juga orang Melayu dan umat Islam mengenai ancaman sedang menanti kita.

Malah dalam ucapan itu beliau juga menegaskan: "Negara kini mula dilanda dengan politik jalanan tanpa tamadun. Parlimen sebagai dewan yang mulia juga telah dicemarkan.

"Akhir-akhir ini kita menyaksikan usaha-usaha terancang dan berterusan oleh pembangkang untuk meruntuhkan tiang-tiang seri negara yang berperanan sebagai pendukung utama kedaulatan sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat."

Persoalannya selepas lima bulan peringatan itu diberikan, apakah suasana sudah berubah? Jawapannya tidak, malah hari demi hari, kedudukan orang Melayu terus terancam, institusi Raja-raja Melayu semakin dikecam di blog-blog manakala agama Islam dihina dengan sewenang-wenangnya.

Mereka yang cuba mempertahankan orang Melayu dan Islam dengan menyerang kembali 'petualang-petualang' tersebut dikecam habis-habisan, malah dihina dengan pelbagai panggilan.

Dalam masa yang sama, puak-puak yang kononnya memperjuangkan Islam lebih dilihat mementingkan kedudukan politik mereka daripada menegur keceluparan rakan dalam pakatan mereka.

Bagi kelompok ini, mereka sentiasa beranggapan bahawa isu penghinaan ke atas agama Islam dan mempertikaikan kedudukan orang Melayu hanyalah permainan politik UMNO.

Lihat sahaja kepada tindak-tanduk mereka apabila di Pulau Pinang, Perak dan Selangor ada wakil rakyat DAP yang lebih berkuasa daripada pemimpin-pemimpin Melayu di dalam pentadbiran kerajaan campuran pimpinan Pas mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Demi kepentingan politik, tiada kenyataan tegas dikeluarkan oleh pemimpin Pas berikutan kebiadapan rakan-rakan politik mereka. Menjaga kuasa dan kedudukan politik seolah-olah lebih penting dan menjadi pertimbangan parti yang memperjuangkan Islam itu.

Mereka sengaja melupakan peringatan Hishammuddin dan pemimpin-pemimpin UMNO lain bahawa ada agenda tersembunyi bagi merosakkan tiang seri atau asas negara.

Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa persoalan yang diperjuangkan dan sedang dipertahankan oleh UMNO sekarang bukan soal politik kepartian, bukan soal mempertahankan kekuasaan tetapi soal masa depan orang Melayu dan umat Islam.

Agenda besar ini sudah digariskan oleh Hishammuddin, lima bulan lalu di Perhimpunan Agung UMNO. Kata beliau, "Ingatlah saudara, Si Petualang ini, oleh kerana gilakan kuasa, sanggup berbuat apa sahaja. Si Petualang sanggup menyemai benih kebencian; sanggup bersekongkol dengan musuh, tergamak menidakkan hak bangsa sendiri, menghina tanah airnya sendiri di pelbagai forum di serata dunia, bersedia mempersenda institusi raja dan sesiapa sahaja untuk memuaskan nafsu rakusnya."

Oleh itu, orang Melayu perlu segera bangun daripada mimpi indah mereka atau terus dibuai dengan ketaksuban melihat apa sahaja yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) bermotif politik. Mereka harus sedar bahawa ancaman kepada kedudukan orang Melayu dan umat Islam kini semakin ketara.

Kemaraan dan keghairahan puak-puak tertentu yang begitu ghairah mencaci dan menghina orang Melayu dan Islam tidak boleh dibiarkan. Tidak apa untuk berbeza fahaman politik tetapi perbezaan ini jangan sampai kita dilihat bersekongkol dan hanya menjadi pak turut kepada pihak lain demi menjaga secebis kuasa.

Mereka harus ingat, jika sekarang ketika hanya ada sedikit kuasa pun mereka sudah bagaikan 'cacing naik ke mata', bagaimana jika mereka mempunyai kuasa sepenuhnya?

Percayalah, apa yang diperjuangkan dan diperkatakan oleh UMNO bukanlah satu rekaan, konspirasi atau parti itu berada dalam keadaan terdesak.

Tiada pemimpin UMNO atau BN yang tertekan sebalik ada di kalangan pemimpin pembangkang yang semakin kalut dengan pelbagai kes dan kecelaruan yang mereka hadapi. Pakatan yang dizahirkan atas dasar kepentingan untuk berkuasa semata-mata semakin menjurus ke arah retak menanti belah.

Tetapi bukan itu yang hendak kita lihat, apa yang lebih mustahak ialah sejauh manakah orang Melayu dan umat Islam tanpa mengira fahaman politik bersedia berdiri bersama dalam satu saf mewujudkan benteng dan kubu bagi mempertahankan tiang-tiang seri negara yang semakin diganggu-gugat oleh mereka yang rakus untuk berkuasa.

Ketika ini keceluparan dan kebiadapan terhadap orang Melayu dan Islam berlaku kerana mereka tahu bahawa orang Melayu berpecah-belah, mereka faham bahawa ada pemimpin Melayu akan sentiasa menyokong apa juga yang mereka lakukan.

Ada pemimpin Melayu yang lebih rela menjadi bacul dan hanya menjadi pak turut, enggan menegur perkara yang mungkar dan tidak mempedulikan apa yang akan berlaku kepada orang Melayu.

Jangan sampai telatah mereka akan disamakan dengan apa yang Hishammuddin tegaskan dalam ucapannya iaitu: "Biar apa pun yang hendak beliau lakukan, setiap kata dan setiap perbuatan beliau akan terpahat dalam sejarah bangsa - sejarah negara, sebagai manusia berbagai topeng yang mengamalkan budaya hipokrasi, penuh kepura-puraan, melakukan pembohongan - melakukan manipulasi; lain di depan, lain di belakang. Wahai Petualang bangsa, pelanduk mungkin lupakan jerat, tetapi jerat janganlah sama sekali melupakan pelanduk."

Kini terserahlah kepada pemimpin-pemimpin yang terlibat bagaimana hendak mengatur langkah politik seterusnya, tetapi apa yang pasti jangan sampai mereka menyesal di belakang hari.

Ingatlah titah Raja Nazrin Shah semasa Majlis Penyampaian Hadiah di Maktab Melayu Kuala Kangsar pada 21 Jun 2008, baginda bertitah: "Bisikkan kepada mereka akan petua orang tua-tua, bahawa kiambang adalah kiambang, biduk berlalu bertautlah ia.

Pesankan kepada mereka jangan terlalu cepat bermusuh dengan kawan dan jangan terlalu ghairah bersahabat dengan musuh kerana sejak zaman dulu lagi terlalu banyak musang yang berbulu ayam, terlalu banyak sokong yang membawa rebah. Ingatkan mereka akan sejarah bangsanya bernegara, berlandaskan adat rakyat bersultan, negeri beraja."

No comments:

Post a Comment