Monday, August 3, 2009

DEMONSTRASI JALANAN GUGAT KEHARMONIAN NEGARA

Demonstrasi jalanan gugat keharmonian negara

Oleh Manja Ismail


TINDAKAN peserta perhimpunan haram cetus kekacauan serta jejas kegiatan ekonomi dan keamanan negara.

Sejarah buktikan sesuatu tuntutan, matlamat tak pernah berjaya dicapai menerusi tunjuk perasaan

SEORANG rakan petang kelmarin menelefon meluahkan kemarahannya kerana lebih dua jam terperangkap di Jalan Klang Lama menyebabkan beliau dan keluarga, yang mahu menghadiri kenduri kahwin di Kampung Pandan terpaksa berpatah balik ke Subang Jaya. Beliau mengambil jalan itu kerana mahu mengelak Lebuh Raya Persekutuan, yang menurut jangkaannya sesak berikutan banyak jalan ditutup ekoran demonstrasi membantah dan menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Akibatnya, beliau sekeluarga bukan saja tidak menghadiri majlis itu dan ketinggalan waktu Zuhur, tetapi terpaksa singgah mengisi perut di restoran mamak. Namun, bukan beliau saja yang terperangkap dalam kesesakan kelmarin apabila beberapa jalan masuk ke pusat bandar raya ditutup bagi menghalang demonstrasi itu. Antaranya Jalan Mahameru, Dataran Merdeka, Jalan Travers, Jalan Syed Putra, Jalan Kelapa Gading dan beberapa laluan sekitar Istana Negara termasuk penghujung Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran Sungai Besi.

Rakan itu masih bernasib baik kerana beliau hanya tidak dapat menghadiri kenduri dan terperangkap lebih dua jam saja. Beribu-ribu lagi warga kota, terutama yang mahu ke tempat kerja semalam terpaksa menghabiskan lebih lama daripada itu dalam kenderaan masing-masing bagi perjalanan yang hanya memakan masa 20 atau 30 minit. Itu belum termasuk mereka yang menggunakan perkhidmatan awam seperti bas, teksi dan LRT. Ramai terperangkap di tengah bandar raya apabila LRT Putra dan Star menghentikan sementara perkhidmatannya di stesen Masjid Jamek, Pasar Seni dan Bandaraya berikutan tunjuk perasaan itu. Bayangkan jika ada yang kecemasan seperti jatuh sakit, mahu bersalin atau paling ringan pun, terpaksa membuang air ketika terperangkap dalam kesesakan sedemikian. Begitu juga dengan peniaga di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman – daripada gedung beli-belah, kedai dan restoran sehinggalah pemilik gerai pasar hujung minggu – yang terpaksa menanggung kerugian kerana tidak dapat berniaga.

Puncanya gara-gara ada yang percaya sesuatu tuntutan itu hanya dapat dicapai melalui demonstrasi sedemikian walaupun sejarah di negara ini membuktikan sebaliknya. Reaksi kepada rancangan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bagi membantah undang-undang itu, Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) bersama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut menganjurkan perhimpunan supaya ISA dikekalkan tetapi bersurai awal selepas diberi amaran oleh pihak berkuasa. Sehingga tengah malam semalam, 589 orang termasuk 44 remaja berusia bawah 18 tahun ditahan kerana menyertai perhimpunan haram itu. Polis juga menyiasat beberapa pemimpin pembangkang kerana disyaki mendalangi demonstrasi berkenaan.



Berdasarkan kehadiran sebahagian besar pemimpin parti Pakatan Rakyat (PR) kelmarin, perhimpunan dan perarakan GMI itu lebih bermotifkan politik daripada hasrat untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. Jika hanya mahu menyerahkan memorandum ke Istana Negara, ia memadai untuk mereka pergi dengan beberapa kenderaan. Isu ISA juga bukan perkara baru kerana sebelum ini pun sudah ada cadangan malah daripada Perdana Menteri sendiri agar akta itu dikaji. Kerana itu, ada yang berpendapat demonstrasi kelmarin adalah strategi pembangkang untuk mengalih perhatian daripada beberapa isu yang mendedahkan kelemahan kerajaan PR seperti di Pulau Pinang dan Selangor, mendapat publisiti daripada media asing serta mencemarkan imej pentadbiran sekarang yang beberapa pembaharuannya dilihat mula memikat hati rakyat.

Bagaimanapun itu mungkin matlamat jangka pendek. Yang lebih membimbangkan jika demonstrasi seperti ini berterusan, kesan jangka panjangnya ialah pelabur asing mencari destinasi lain, manakala sektor pelancongan pasti terjejas. Apabila ini berlaku, kesannya kepada negara amat besar. Tanpa kehadiran pelaburan asing, tidak banyak projek pembangunan dan industri baru dilaksanakan menyebabkan peluang pekerjaan semakin kecil. Yang menjadi mangsa ialah ribuan lepasan universiti yang mahu mencari pekerjaan. Kelembapan pelaburan dan pelancongan juga bermakna cukai dikutip semakin sedikit, yang secara tidak langsung mengurangkan kemampuan kerajaan untuk melaksanakan projek membantu rakyat.

Kejayaan penganjur demonstrasi itu mengumpul ribuan orang bukan bermakna mereka mencerminkan aspirasi sebahagian besar daripada 26 juta rakyat negara ini yang cintakan ketenangan. Mereka juga tidak boleh menjadikan demokrasi untuk mewajarkan tindakan itu kerana ia menyusahkan orang ramai serta mengganggu ketenteraman awam. Malah, tafsiran demokrasi sering berubah mengikut kepentingan dan keadaan, malah sering disalahgunakan untuk mengelirukan rakyat. Begitu juga 'fatwa' terhadap demonstrasi itu sendiri yang sering berubah walaupun daripada orang yang sama.


Contoh paling ketara tentunya oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila Jumaat lalu beliau dilaporkan berkata tindakan polis tidak membenarkan demonstrasi pro dan anti-ISA sebagai tidak menghormati aspirasi rakyat dalam menuntut haknya. Katanya, tindakan itu dianggap sebagai bertentangan dengan hak asasi rakyat selaras amalan prinsip demokrasi negara berparlimen.

Kenyataan itu jelas bercanggah dengan pendirian beliau mengenai isu yang sama kira-kira lapan tahun lalu. Pada 13 April 2001, Bernama memetik Mursyidul Am Pas itu berkata, beliau tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan seperti dirancang untuk diadakan ketika itu. "Pas awal-awal lagi tidak bersetuju dengan demonstrasi kerana negara ini mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Tunjuk perasaan seperti itu berlawanan dengan sistem demokrasi yang sudah diamalkan sejak sekian lama", katanya mengulas penahanan tujuh orang aktivis reformasi mengikut ISA berikutan cadangan pihak tertentu pembangkang untuk mengadakan demonstrasi jalanan secara besar-besaran pada 14 April 2001.

No comments:

Post a Comment