Monday, August 3, 2009

Minda Pengarang: Kebebasan bersuara bukan 'tiket' sertai perhimpunan haram

PERHIMPUNAN haram di ibu negara kelmarin yang kononnya untuk menekan kerajaan supaya memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) meninggalkan banyak pertanyaan. Apakah kaitan mereka yang terbabit dalam perhimpunan itu dengan ISA? Siapakah sebenarnya orang teraniaya yang mereka perjuangkan sedangkan ISA diwujudkan untuk menjaga ketenteraman awam. Adakah mereka yang ditahan di bawah akta itu ibu bapa atau keluarga mereka atau mereka langsung tidak mengenali pun mereka yang ditahan itu? Pihak berkuasa mempunyai alasan untuk menahan seseorang mengikut akta itu tanpa perlu menghebahkan alasan berbuat demikian, mungkin atas faktor keselamatan. Terikut-ikut dengan gelagat mereka yang berkepentingan, terutama bermotif politik, adalah tindakan yang kurang bijak. Perhimpunan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) dan pakatan pembangkang itu menimbul pelbagai kesan buruk. Selain kesesakan lalu lintas yang teruk, ramai peniaga mengalami kerugian.

Seperti diramalkan, perhimpunan ini tidak berjaya mencapai matlamatnya kerana pihak berkuasa akan bertindak menyuraikan mereka. Perlu diingat manakala golongan itu membantah ISA, masih ramai yang mahu ISA terus dikuatkuasakan kerana mereka tahu keamanan hari ini diperoleh daripada perlindungan undang-undang termasuk ISA. Polis terpaksa melakukan sesuatu kerana tidak mahu mereka melakukan perbuatan yang menjejaskan keselamatan seterusnya menjadi liar sehingga mencetuskan ketegangan. Tidak ada sesiapa pun boleh memberi jaminan bahawa perhimpunan itu diadakan dalam suasana aman. Dengan kata nista dan maki hamun, ia boleh menimbulkan keadaan di luar kawalan. Tambahan pula, tunjuk perasaan turut dianjurkan kumpulan menyokong ISA diketuai Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran). Bagaimana pun, mereka bersurai selepas dinasihatkan polis. GMI dan pakatan pembangkang meneruskan bantahan menyebabkan polis terpaksa menyuraikan mereka dan menahan hampir 600 orang untuk siasatan. Sewajarnya pemimpin yang mewakili parti pembangkang bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi kepada mereka yang terbabit dalam perhimpunan haram itu. Sukar difahami tindakan pengikut mereka ini kerana mereka sebenarnya tidak ada alasan kukuh untuk membantah ISA.

Jika selama ini mereka bebas bergerak ke mana-mana, ia adalah berikutan penguatkuasaan undang-undang. Sesiapa saja yang mempunyai kecenderungan melakukan perbuatan khianat atau subversif akan berfikir sedalam-dalamnya kerana tahu mereka boleh dikenakan tindakan mengikut ISA. Hanya mereka berniat melakukan kesalahan saja takut kepada ISA. Di Malaysia, kita menyokong sistem demokrasi melalui kebebasan bersuara. Namun, jika ia menjejaskan keselamatan dan hak orang lain untuk hidup harmoni, tindakan berkenaan wajar dihentikan. Banyak saluran lain boleh digunakan bagi mencapai matlamat yang mereka perjuangkan. Agak menghairankan, sebahagian besar yang memenuhi jalan raya adalah orang Melayu. Ia memberi kesan bahawa orang Melayulah yang bertelagah dengan kerajaan. Apakah yang kurang dalam hidup mereka hingga sanggup melakukan perbuatan bertentangan dengan undang-undang. Adalah lebih baik mereka menjadi jaguh dalam bidang lain daripada ditangkap kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan haram.

No comments:

Post a Comment